“KPKT Berjaya Selamatkan 351 Projek Perumahan Terbengkalai Bernilai RM32.87 Bilion dalam Setahun Pentadbiran MADANI”

hartatanah.com

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyelesaikan 351 projek perumahan swasta yang terbengkalai dengan nilai RM32.87 bilion dalam tempoh setahun pemerintahan MADANI. Sebanyak 43,738 unit perumahan swasta telah dipulihkan melalui Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST). RM1 bilion telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 untuk galakkan pemaju memulihkan projek-projek ini.

Selain itu, 110 unit lif di perumahan awam berstrata kos rendah telah dibaik pulih dan sebahagian diganti baharu, memberi manfaat kepada 22,648 penghuni. RM50 juta telah diluluskan untuk penyelenggaraan dan penggantian lif-lif usang di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam.

Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) telah menyiapkan 35,454 unit kediaman, manakala 261,901 unit rumah mampu milik sedang dibina di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

KPKT juga membaik pulih 2,000 unit rumah daif di bandar dan membina 16 unit rumah baharu. MyKiosk sebanyak 3,209 unit telah disediakan untuk meningkatkan sosioekonomi penjaja dan peniaga kecil dengan peruntukan RM50 juta.

Inisiatif tandas BMW (Bersih, Menawan dan Wangi) telah dilancarkan dengan RM9.46 juta untuk membaik pulih 153 tandas awam di seluruh negara. Peruntukan RM50 juta juga disalurkan bagi menyelenggara dan membaik pulih rumah-rumah ibadat bukan Islam.

KPKT telah memperkasakan peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan melancarkan perkhidmatan khas helikopter ambulans pertama negara iaitu EMARS (Emergency Air Ambulance Rescue Services). Empat balai bomba baharu telah dibina dan dua dinaik taraf bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.