KPDNHEP akan memastikan pelaksanaan SST berjalan lancar

2 September, KULIM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyelaras dengan beberapa kementerian bagi memastikan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berjalan dengan lancar.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata penyelarasan itu akan dijalankan oleh KPDNHEP dengan kerjasama Kementerian Kewangan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM).

“Akta SST adalah di bawah Kementerian Kewangan dan kementerian ini akan menentukan barang yang akan dikenakan cukai sementara KKM terlibat dalam perkhidmatan telekomunikasi seperti kad nilai tambah prabayar telefon bimbit, katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas menghadiri program kebajikan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Kampung Tengah Relau, Bandar Baharu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Sri Jamil Salleh, ketua pegawai eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Komuniti Negeri, Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna R. Summugam.

Sementara itu Saifuddin berkata kementeriannya memahami kekangan mengenai beberapa peniaga yang tidak mempunyai maklumat tentang pelaksanaan SST, menyebabkan mereka tidak menyedari bahawa mereka melakukan kesalahan.

Beliau berkata peniaga dinasihatkan merujuk kepada laman web Jabatan Kastam mengenai senarai barang dan perkhidmatan yang dikenakan dengan SST.

 

-Sumber