Apa Itu Pindah Milik Tanah dan bagaimana untuk lakukan permohonan pindah milik tanah?

Apa yang dimaksudkan dengan Pindah Milik Tanah? Secara definasinya ia merupakan satu (1) proses untuk menukar nama pemilik berdaftar (Pemilik asal) yang melibatkan keseluruhan atau sebahagian tanah kepada pemilik baru.

SYARAT – SYARAT PERMOHONAN

  1. Warganegara berumur sekurang – kurangnya 18 tahun ke atas.
  2. Perbadanan – perbadanan yang mempunyai tanah di bawah perlembagaan untuk memegang tanah ( Badan – Badan Berkanun).
  3. Raja – Raja Pemerintah, Kerajaan , Organisasi dan lain – lain orang yang diberikuasa untuk memegang tanah di bawah Pemeliharaan Ordinan Keistimewaan Diplomatik dan Konsular 1957.
  4. Badan-badan yang diberikuasa secara sengaja untuk memegang tanah di bawah mana-mana syarikat.

Pastikan pihak yang ingin memohon melihat syarat-syarat asas sebelum melakukan permohonan bagi mengelakkan kesulitan dimasa hadapan.Seterusnya pemohon atau pemilik asal perlu mengisi Borang Pindah Milik (14A). Pemohon boleh mendapatkan khidmat dari peguam yang berpengalaman untuk memudahkan lagi urusan. Sekiranya pemohon mempunyai ruang masa, ia boleh juga diselesaikan sendiri. Boleh rujuk pejabat tanah berdekatan untuk mendapatkan panduan lengkap.

PANDUAN PENGISIAN BORANG PINDAH MILIK (14A)

  1. Borang hendaklah ditulis dan ditandatangani dengan pen dakwat basah berwarna hitam atau ditaip dengan jelas dan terang.
  2. Bagi Permohonan Pindah Milik Tanah Rizab Melayu, Borang 14A mestilah diakusaksi oleh Pentadbir Tanah.
  3. Sekiranya Borang Pindah Milik (14A) dicapkan dengan ibu jari maka perlu dilabelkan jari kiri atau kanan.

SENARAI SEMAK PENDAFTARAN PINDAH MILIK (14A)

  1. Hakmilik (Geran) asal.
  2. Borang 14A yang telah diisi dengan lengkap.
  3. Sijil Setem.
  4. Notis Taksiran pindah milik daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
  5. Salinan Cukai Tanah bagi tahun semasa yang jelas dan terang menunjukkan pembayaran yang telah dibuat (gelap atau kabur tidak diterima).
  6. Salinan Cukai Pintu semasa : Januari – Jun Bil.1 dan Julai – Disember Bil.2 yang jelas dan terang ( gelap atau kabur tidak diterima).
  7. Salinan MY Kad Pemberi dan Penerima pindah milik yang jelas dan terang, bahagian depan serta belakang (gelap atau kabur tidak diterima).

 

 

Rujukan: Pejabat Daerah/Tanah Klang.